HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan masih gagal menguruskan kos sara hidup rakyat selepas Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan Indeks Harga Pengeluar (IPHR) Pengeluaran Tempatan meningkat 1.6 peratus pada bulan lalu.
Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, hakikat kenaikan harga barang berterusan dirasai rakyat gagal difahami kerajaan yang berterusan mengeluarkan kenyataan tanpa asas fakta yang tepat.
“Dalam Parlimen baru-baru ini, beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata, segala cukai dikenakan oleh kerajaan tidak akan meningkatkan kos barangan keperluan asas. Itu juga satu pembohongan.
“Jabatan Statistik (DOSM) minggu ini mengeluarkan laporan statistik terkini, menunjukkan indeks kos pengeluaran barang-barang asas meningkat bermakna harga barang akan meningkat, bukan sahaja pada bulan ini, tetapi pada bulan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, DOSM mendedahkan IPHR yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 1.6 peratus pada Mac 2024 berbanding 0.3 peratus pada Februari 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengulas, semua sektor mencatatkan peningkatan pada Mac 2024, menyumbang kepada peningkatan indeks keseluruhan.
“Sektor Perlombongan naik 8.3 peratus (Februari 2024: 5.3 peratus), disebabkan oleh indeks Pengekstrakan petroleum mentah (11 peratus). Pada masa yang sama, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 5.5 peratus (Februari 2024: 6 peratus), dengan indeks Penanaman tanaman kekal dan Pengeluaran ternakan masing-masing meningkat sebanyak 9.0 peratus dan 3.8 peratus.
“Sektor Pembuatan meningkat perlahan 0.6 peratus daripada negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (6.8 peratus) dan Pembuatan kimia dan produk kimia (1.4 peratus).
“Untuk sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas dan bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 0.1 peratus dan 6.0 peratus,” lapornya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mengajak semua pengundi di Kuala Kubu Bharu memberikan isyarat dan menegur kerajaan dengan mengundi PN sebagai tanda protes terhadap tatakelola ekonomi Kerajaan Perpaduan.
“Kalau rakyat khususnya di Kuala Kubu Bharu tidak bersetuju dengan tatakelola ekonomi kepemimpinan Kerajaan Madani pada hari ini, kami PN menyeru agak undi protes dibuang pada 11 Mei depan untuk menyatakan sokongan kepada PN.
“Supaya semak dan imbang kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri dapat dilakukan dengan lebih keras dan tegas,” jelasnya. – UTUSAN










