HULU SELANGOR: Manifesto yang dilancarkan oleh calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao didakwa akan gagal dilaksanakan sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, manifesto PH sebelum ini juga didapati masih tidak dilaksanakan.
Sehubungan itu, menurut beliau, manifesto yang dilancarkan oleh Sock Tao itu dijangka akan gagal dilaksanakan.
“Manifesto yang dua tahun lepas pun belum ditunaikan, jangan percaya manifesto yang dibentangkan di Kuala Kubu Baharu.
“Kalau di peringkat nasional dan negeri pun mereka gagal menunaikan janji-janji mereka, tidak mungkin mereka dapat menunaikan di Kuala Kubu Baharu.” katanya pada Pelancaran Manifesto PN di Biz Box, di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Kerajaan Perpaduan menggariskan lima teras utama dalam manifesto PRK yang ditawarkan kepada pengundi DUN Kuala Kubu Baharu.
Lima teras tersebut merangkumi ekonomi, kemudahan awam, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan dalam usaha untuk memperkasa kawasan Kuala Kubu Bharu, selain menjaga kebajikan penduduknya.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor berkata, PN hanya akan melancarkan manifesto yang mampu dilaksanakan sahaja.
“Kita tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ tetapi kita menjanjikan tenaga, kudrat, pemikiran sedaya upaya kita untuk mengangkat martabat rakyat di Kuala Kubu Baharu,” katanya. – UTUSAN










