PUTRAJAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diarah menjalankan kajian mendalam membabitkan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlakunya insiden pokok tumbang di sepanjang laluan rel milik syarikat itu.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Prasarana juga perlu mengadakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan bagi mengenal pasti lokasi-lokasi terbabit.
Jelasnya, keadaan cuaca yang agak ekstrem dan tidak menentu ketika ini turut meningkatkan risiko berlakunya insiden yang tidak diingini seperti pokok tumbang yang boleh membahayakan nyawa orang ramai serta kemusnahan harta benda.
“Kerja-kerja penyelenggaraan ini sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa PBT dan terdapat juga kawasan-kawasan persendirian, jadi kita tidak boleh sesuka hati masuk ke kawasan tersebut.
“Namun, sebagai operator kita perlu lebih proaktif dan saya minta Prasarana supaya membuat satu siasatan (kajian) yang lebih terperinci dengan melihat kawasan-kawasan yang berisiko ini.
“Seterusnya berbincang dengan DBKL atau PBT yang terlibat mengenai perkara itu terutamanya di sepanjang jajaran yang melibatkan laluan monorel dan LRT,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Erat Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.
Media pada 7 Mei melaporkan, seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, monorel merupakan sistem pengangkutan yang lebih berisiko untuk terdedah kepada insiden sedemikian berikutan landasannya yang berada di tengah pusat bandar.
“Sebab kita punya sistem rel ini kebanyakannya ‘above ground’, kalau di bawah tanah itu tiada risiko begini, tapi monorel ini landasannya di tengah-tengah bandaraya.
“Memang penyelenggaraan pokok itu antara agenda utama yang perlu diutamakan, sebelum ini pun memang ada penyelenggaraan berkala tetapi dengan berlakunya kejadian-kejadian seperti ini kita perlu melipat gandakan tumpuan,” ujarnya. – UTUSAN










