PETALING JAYA : Sekumpulan penyokong bola sepak yang disyaki terbabit insiden kekecohan di sebuah stadium di sini kelmarin sedang giat dikesan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, polis terkesan dua video kekecohan itu yang tular pada 10.15 pagi semalam.
“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki berlaku selepas selesai perlawanan liga tempatan kira-kira 11 malam semalam.
“Kekecohan itu menyebabkan pintu jeriji besi di laluan masuk ke tempat duduk penyokong dirosakkan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, susulan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan individu yang terbabit kejadian itu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – UTUSAN











