PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah berani dalam mempercepatkan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu dengan membayangkan peningkatan gaji bersih penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember tahun ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, ketegasan Perdana Menteri dalam memastikan kajian SSPA dimuktamadkan dengan segera dihargai seluruh warga perkhidmatan awam setelah bertahun-tahun tidak dilakukan secara serius.
Menurut beliau, kerajaan telah menerima setiap pandangan diberikan pihaknya dalam tempoh kajian SPPA dilakukan.
“Hasilnya hari ini Perdana Menteri memberi bayangan bahawa gaji permulaan termasuk elaun tetap penjawat awam akan ditetapkan lebih RM2,000 sebulan berbanding RM1,700 ketika ini.
“Peningkatan yang dijangka melebihi 13 peratus itu sudah tentu memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam di semua peringkat kerana ia akan meningkatkan gaji bersih boleh guna mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti dicurahkan kepada rakyat dan negara oleh golongan tersebut.
“Setelah sekian lama tiada sebarang tindakan drastik diambil oleh kerajaan untuk memperbaiki struktur gaji penjawat awam, akhirnya Perdana Menteri mengambil langkah berani dalam mempercepatkan pelaksanaan SSPA yang baharu,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan berita baik buat penjawat awam kerana bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, usaha dan komitmen kerajaan merupakan satu menifestasi penghargaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang bekerja meletakkan negara pada landasan yang kukuh.
Justeru, katanya, Cuepacs menyeru semua warga perkhidmatan awam untuk terus bersama dengan kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan sektor ekonomi.
“Komitmen tinggi penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan sektor ekonomi sudah tentu akan memberikan kesan yang positif kepada perkembangan ekonomi negara.
“Penjawat awam sebagai pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta tanggungjawab. Tingkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dengan keperluan semasa rakyat dan sektor ekonomi,” katanya.- UTUSAN










