KUALA LUMPUR: Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi peningkatan perdagangan rentas sempadan, pembukaan pasaran eksport serta pengukuhan rangkaian logistik di utara Semenanjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan itu bukan hanya tertumpu kepada kawasan Sadao dan Bukit Kayu Hitam, malah diperluaskan ke Rantau Panjang bagi mewujudkan koridor ekonomi yang lebih menyeluruh.
“Kita sasarkan bahawa peningkatan perdagangan Malaysia-Thailand mempunyai potensi yang besar tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sekarang ini kita memberikan laluan barang makanan dan perikanan dari Thailand melalui Semenanjung ke Singapura.
“Sebelum ini, dari Malaysia terdapat beberapa sekatan kastam Thailand untuk ke Laos, Kemboja dan Vietnam. Tetapi dengan perjanjian baharu ini, Thailand telah bersetuju memberikan kelonggaran.
“Itu maknanya peluang perdagangan untuk Malaysia dalam bidang perikanan dan pertanian juga dapat melepasi sekatan-sekatan biasa kastam tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan manfaat ekonomi yang dijangka diperoleh Malaysia daripada pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.
Selain itu Adnan turut meminta kerajaan menjelaskan mekanisme bagi memastikan manfaat tersebut turut dinikmati perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan.
Mengulas hal tersebut, Anwar berkata, kerajaan akan memberi penekanan khusus kepada pembangunan usahawan tempatan, terutama Bumiputera.
“Penekanan kita lebih kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan kecil supaya mereka tidak tercicir daripada limpahan pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan,” katanya.
“Penekanan kita juga lebih kepada PKS dan perusahaan-perusahaan kecil. Ini termasuk inisiatif Power Up 10K, iaitu pembiayaan sehingga Jun 2026.
“Sebanyak RM400 juta pembiayaan telah diluluskan kepada usahawan dan korporasi di Kelantan, RM287 juta kepada usahawan dan korporasi di Kedah, dan RM45 juta kepada usahawan dan korporasi di Perlis supaya kepentingan masyarakat di peringkat yang lebih rendah dan perniagaan kecil Bumiputera itu tidak terlepas daripada peningkatan kegiatan ekonomi,” katanya. – UTUSAN










