LONDON: Kerajaan Britain pada Isnin mengumumkan peruntukan lebih £250 juta (RM1.36 bilion) bagi meningkatkan perlindungan polis terhadap komuniti Yahudi, yang menjadi sasaran beberapa siri serangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pakej baharu itu akan membantu membiayai penempatan lebih 500 anggota polis di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Yahudi Britain. Ia turut termasuk 300 anggota polis di London.
Peruntukan itu juga akan digunakan untuk menambah rondaan polis di luar rumah ibadat dan sekolah Yahudi, selain menambah jumlah anggota polis berpakaian biasa.
Langkah ini diambil berikutan siri serangan antisemitik yang berlaku di London, termasuk kes tikaman membabitkan dua lelaki di Golders Green pada April lalu, selain peningkatan tahap ancaman keganasan nasional daripada peringkat ketara kepada teruk.
Perdana Menteri Keir Starmer berkata: “Pertambahan fahaman antisemitisme yang kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini merupakan satu ujian terhadap nilai-nilai kita sebagai sebuah negara dan usaha menanganinya telah menjadi keutamaan dalam kepimpinan saya sejak hari pertama.”
Starmer mula menjadi perdana menteri pada Julai 2024.
Pakej terbaharu ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
Sebahagian daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk membiayai langkah-langkah pendidikan dalam usaha memerangi antisemitisme.
Timbalan Ketua Polis Metropolitan London, Matt Jukes memaklumkan bahawa pelaburan itu membolehkan pihak polis memperkukuh Pasukan Perlindungan Komuniti yang sedia ada dan menubuhkan pasukan tambahan di tiga lokasi di London.
Dalam pada itu, Polis Greater Manchester pula dijadualkan menerima £22 juta (RM120 juta) bagi mengekalkan peningkatan kehadiran anggota polis susulan insiden serangan di Heaton Park tahun lalu.
Dua lelaki Yahudi, Adrian Daulby dan Melvin Cravitz terbunuh dalam kejadian itu. – AGENSI










