Malaysia muncul pemain utama gas dunia menerusi projek Turkmenistan

Malaysia muncul pemain utama gas dunia menerusi projek Turkmenistan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai antara pemain utama industri gas dunia apabila aktiviti penerokaan di Blok 9 dan Blok 10 di Turkmenistan yang terletak berhampiran antara kawasan simpanan gas terbesar dunia dijadual bermula seawal Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu merupakan berita baik kepada Malaysia, khususnya Petroliam Nasional Berhad (Petronas), selepas Turkmenistan memberikan hak kepada syarikat itu untuk mengendalikan penerokaan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Petronas semalam, kerja-kerja penerokaan akan dimulakan lebih awal daripada jangkaan biasa.

“Kemudian, Turkmenistan satu berita yang sangat baik untuk Malaysia terutamanya kepada
Petronas kerana memberikan bekalan telaga di antara gas yang terbesar di dunia untuk kita kendalikan.

“Dijangka mengikut kenyataan Petronas semalam, bekalan usaha mengorek gali kawasan gas yang terbesar Blok 9 dan 10 akan bermula bulan Disember ini juga.

“Ini di kalangan yang agak paling cepat yang pernah berlaku. Selalunya jangkaan di antara satu setengah tahun hingga dua tahun untuk memulakan. Jadi kita boleh mulakan pada bulan Disember,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta kerajaan menyatakan penilaian terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta langkah yang sedang diambil bagi mengurangkan impaknya.

Tambah Anwar, perkembangan itu dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global apabila negara berpeluang mengendalikan antara simpanan gas terbesar di dunia.

“Ini akan meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mengendalikan sumber gas terbesar di dunia,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memberitahu, Malaysia berpotensi memperoleh akses kepada zon telaga gas yang disifatkan antara terbesar di dunia menerusi rundingan yang melibatkan Petronas dengan Turkmenistan.

Beliau berkata, peluang berkenaan amat signifikan kepada Malaysia, sekali gus memerlukan penglibatan beliau sendiri selaku Perdana Menteri dalam proses memeterai perjanjian dengan kerajaan Turkmenistan.

Menurutnya, lawatan rasmi itu tidak boleh diwakilkan kepada delegasi lain kerana kehadiran beliau menjadi antara faktor penting dalam memastikan Petronas memperoleh hak mengendalikan kawasan telaga gas berkenaan.

Beliau berkata, peluang berkenaan amat penting kepada Malaysia dan memerlukan penglibatan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dalam proses pemeteraian perjanjian yang dirancang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN