Penahanan Mufti Baitulmuqaddis tidak padam cahaya kebenaran

Penahanan Mufti Baitulmuqaddis tidak padam cahaya kebenaran

LANGKAH membebaskan Baitulmuqaddis dari cengkaman Zionis bukan hanya sekadar berdoa kerana ia tidak mencukupi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan rejim Zionis Israel menahan Mufti Besar Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad Hussein bukan sahaja mencabul kebebasan beragama, malah menghina institusi keilmuan Islam dan kesucian masjid ketiga paling suci dalam Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, mufti bukan sekadar seorang individu tetapi beliau adalah suara umat, penjaga ilmu dan lambang kewibawaan agama.

“Menahan seorang mufti tidak akan memadamkan cahaya kebenaran, sebaliknya hanya memperlihatkan ketakutan rejim Zionis terhadap suara yang mempertahankan hak, maruah dan kebebasan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menahan Muhammad Hussein sejurus Solat Jumaat di masjid berkenaan pada Jumaat lepas.

Hasan berkata, Yadim menggerakkan pelbagai inisiatif solidariti melalui program seperti Wake Up 4 Aqsa, penyertaan dalam Bulan Solidariti Dengan Palestin dan Umat Yang Tertindas bagi memastikan isu Palestin terus hidup dalam kesedaran rakyat Malaysia.

“Berteraskan semangat Malaysia Madani yang menjunjung nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan sejagat serta aspirasi Madani membantu yang mengutamakan tindakan berbanding retorik, badan dakwah ini akan terus memperkukuh agenda solidariti untuk Palestin.

“Di seluruh negara, Sukarelawan Yadim, Daie Komuniti, Rakan Siswa Yadim, Rakan Belia Yadim serta ejen-ejen dakwah akan digerakkan bagi memperluas pendidikan masyarakat mengenai isu Palestin, menyemarakkan kesedaran awam dan menggerakkan lebih banyak program kemanusiaan demi membela nasib rakyat Palestin.

“Apa yang berlaku di Al-Aqsa bukan isu yang jauh daripada kita. Solidariti ini akan terus diterjemahkan melalui program-program yang menyedarkan masyarakat dan menyuburkan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN