IPOH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menghantar satu pasukan untuk ke Kuwait berhubung cadangan mendapatkan pesawat tempur F/A-18 Hornet dari negara itu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, lawatan teknikal ke negara itu akan diadakan dalam masa terdekat dengan pasukan pelaksana dibentuk pada bulan hadapan.
“Berkaitan pesawat tempur (Hornet) dari Kuwait, kerajaan telah berbincang dan kita kini dalam proses untuk membuat lawatan ke sana. Setakat ini, kita masih tunggu waktu yang sesuai.
“Mungkin dalam bulan Jun ini (lawatan), insya-Allah, kita akan tubuhkan satu pasukan untuk laksanakan lawatan teknikal ke sana,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM di Akademi Tentera Udara, di sini hari ini
Menurut Mohd. Asghar Khan, menerusi lawatan itu nanti, kerajaan dan TUDM akan memutuskan bilangan pesawat Hornet yang ingin diperoleh bagi memperkasakan pertahanan udara negara.
Katanya, TUDM ketika ini mengoperasikan lapan buah pesawat F/A-18D Hornet buatan Amerika Syarikat yang dibeli pada 1995 dan mula beroperasi pada 1997.
“Kuwait mempunyai 39 pesawat Hornet dua jenis tempat duduk dan satu tempat duduk. Jadi, daripada lawatan itu baru kita tentukan jumlah yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dalam negara.
“Sekiranya lawatan itu memberi hasil yang positif sehingga 2035, mungkin TUDM akan buat keputusan untuk membelinya,” katanya.
Kementerian Pertahanan sebelum ini berminat untuk mendapatkan pesawat tempur terpakai Hornet milik Kuwait bagi menambah kekuatan udara TUDM.
Kuwait bakal menamatkan khidmat pesawat-pesawat tersebut yang dibeli pada 1991 apabila digantikan dengan pesawat tempur lebih moden. – UTUSAN










