GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; isterinya, Betty Chew serta seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon untuk membatalkan tuduhan rasuah terhadap mereka.
Permohonan pembatalan itu membabitkan projek asrama pekerja asing yang dianggarkan bernilai RM11.6 juta.
Pembatalan dilakukan Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Rofiah Mohamad. Rofiah pada masa yang sama turut menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh untuk pengurusan kes.
Pihak pembelaan yang memfailkan permohonan untuk membatalkan kes itu dikatakan telah memetik penggunaan bukti daripada kes yang tidak berkaitan dan dibebaskan sebelum ini melibatkan Lim dari 2018.
Terdahulu, Guan Eng, Betty dan Li Koon menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang mana mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi selepas memindahkan kes daripada Mahkamah Sesyen di Butterworth.
Berdasarkan pertuduhan, Guan Eng didakwa memberikan suapan untuk memastikan syarikat yang dikaitkan dengan Li Koon memperoleh projek asrama antara 2013 dan 2016. Betty pula didakwa melakukan penggubahan wang haram secara tiga kali ansuran.









