PETALING JAYA: Serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor oleh lelaki dipercayai anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) hampir mengulangi sejarah serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat pada tahun 1980 dulu oleh sekumpulan pengikut ajaran sesat atau ekstremis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi kelmarin yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh turut mengimbas kembali penahanan 17 individu dipercayai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2015 yang merancang untuk merompak bank bagi mendapatkan dana selain merompak kem tentera dan balai polis untuk mendapatkan senjata api.
Jika diimbas, banyak rancangan serangan membabitkan kumpulan ekstremis ini berjaya dipatahkan oleh PDRM khususnya Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8), Bukit Aman selepas ada cubaan serangan di lokasi strategik ibu negara seperti Bukit Bintang selain merancang mahu membunuh atau menculik individu berprofil tinggi di negara ini.
Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, PDRM tidak boleh memandang mudah dan leka terhadap sebarang bentuk ancaman keganasan kerana anasir-anasir ekstremis sentiasa ada.
Beliau berkata, tindakan perisikan awal dan pencegahan perlu dilaksanakan berterusan oleh pihak berkuasa meskipun ideologi dan anasir ekstrem dilihat berkurang kerana ancaman itu masih ada.
“Pemantauan dan pencegahan berterusan amat penting kerana serangan keganasan oleh ekstremis boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kelemahan kita kalau kita anggap tiada walhal ideologi itu masih berjalan,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan terperinci dan menyeluruh daripada PDRM merupakan elemen penting bagi mengenal pasti motif serangan dilakukan suspek berkenaan.
Beliau menegaskan, tindakan nekad lelaki bertopeng tersebut yang bersenjatakan parang menyerang anggota polis serta merampas dua laras senjata merupakan satu perbuatan jenayah serius dan berat.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkata, tindakan melampau dan agresif daripada lelaki tersebut perlu disiasat secara terperinci bagi mengenal pasti punca jenayah itu dilakukan.
“Apa yang pasti, pihak polis perlu mengenal pasti siapakah dia penyerang dalam kes ini? selain mengetahui latar belakang penyerang tersebut dengan mendapatkan maklumat daripada rakan atau keluarga terdekatnya.
“Semua langkah tersebut perlu dilakukan siasatan terperinci dan menyeluruh bagi mengetahui motif mengapa dia bertindak sedemikian,” jelasnya.
Beliau berkata, setelah mengetahui latar belakang suspek dengan tepat, ia akan membawa pihak polis kepada petunjuk jelas.
Malah kata beliau, ia juga akan membantu pihak polis mengetahui suspek daripada kumpulan sindiket atau merupakan ahli pengganas.
“Ia pastinya akan memberi petunjuk jelas dan mengetahui sama ada suspek datang daripada kumpulan mana atau bertindak berseorangan di atas sebab-sebab tertentu,” katanya. – UTUSAN










