PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan sebuah sistem pemantauan berterusan di setiap sekolah untuk memastikan kumpulan pelajar yang berisiko gagal akademik dapat dipantau.
Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, kadar 2.6 peratus daripada 383,685 orang calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir peperiksaan tidak terlalu membimbangkan berbanding tahun sebelum.
Bagaimanapun, kata beliau, situasi tersebut tidak boleh terus dibiarkan berlaku berterusan dan perlu diselesaikan.
“Tentu masih ada sebahagian kecil disebabkan calon tidak mempunyai motivasi dan kepercayaan diri untuk menduduki peperiksaan SPM. ‘Kalau ambil SPM pun mesti gagal’ begitu kuat dalam fikiran mereka. Mereka putus asa.
“Sebab itu setiap sekolah mesti mempunyai sistem pemantauan berterusan bagi kumpulan murid berisiko gagal akademik. Perkembangan murid berisiko ini mestilah dalam pemerhatian guru kelas, guru kaunseling dan guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM),” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 10,160 orang calon baharu SPM 2023 tidak hadir peperiksaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pada peperiksaan tersebut hanya 373,525 calon SPM 2023 hadir bagi peperiksaan berkenaan.
“Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara terperinci berhubung ketidak hadiran pelajar pada SPM 2023.
“Perkara ini kita akan ambil langkah intervensi bagi tangani masalah ini,” katanya pada pengunuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2023 di sini, hari ini. – UTUSAN










