Penyelam ditemukan lemas terapung di Pantai Geliga - Utusan Malaysia

Penyelam ditemukan lemas terapung di Pantai Geliga

ANGGOTA polis mengusung mayat Muhammad Aiman Zambri yang ditemukan lemas di Pantai Geliga, Kemaman, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang penyelam ditemukan lemas dalam keadaan terapung di Pantai Geliga, dekat sini, selepas melakukan kerja-kerja selaman di dasar laut, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Aiman Zambri, 25, yang berasal dari Kampung Kubur Tok Panjang, Chukai, ditemukan oleh rakan sekerjanya, Sukril Aman Rabilalim A. Rani, 20, kira-kira pukul 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang merupakan penyelam bagi kerja-kerja memotong besi kapal yang karam, menyelam ke dasar laut dan membuat tandaan di besi kapal yang perlu dipotong kira-kira pukul 4 petang.

“Menurut rakannya, setelah selesai membuat kerja-kerja penandaan di besi kapal, mereka secara tiba-tiba telah terbelit pada hos oksigen, tali kecemasan dan tali penanda besi.

“Bagaimanapun, Muhammad Aiman berjaya melepaskan diri dan telah membuka pemberat di badannya sebelum berenang ke permukaan air, manakala Sukril Aman Rabilalim pula masih cuba melepaskan diri daripada lilitan tali,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Hanyan berkata, Sukril Aiman Rabilalim berjaya naik ke permukaan air lima minit kemudian, namun dia tidak menemui Muhammad Aiman.

“Sukril Aiman Rabilalim kemudiannya telah mengikuti hose oksigen Muhammad Aiman dan menjumpai mangsa terapung di permukaan air.

“Dia kemudiannya membawa rakannya ke pesisir pantai dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum menghubungi pasukan penyelamat,” katanya.

Hanyan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut, namun kita akan turut menyiasat unsur lain sama ada berlaku kecuaian antara pekerja dan majikan atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN