Rakan cuba selamatkan tetapi gagal, Muhammad Firdaus terus tenggelam depan mata - Utusan Malaysia

Rakan cuba selamatkan tetapi gagal, Muhammad Firdaus terus tenggelam depan mata

BADRUL Afiq Jaillany Zam Zam rakan kepada Muhammad Firdaus Zuharsema yang hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Kobat, dekat Taman Impian di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Saya cuba capai tangan dia, tetapi tak sempat. Dia terus tenggelam depan mata saya,” demikian cerita Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24, yang menyaksikan rakannya, Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, yang terjatuh dari bot hilang di Sungai Kobat dekat Taman Impian di sini hari ini.

Menurut Badrul Afiq, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi ketika mereka berdua menaiki bot menuju ke jeti selepas mengambil umpan.

“Dalam perjalanan bot kami terlanggar satu bongkah kayu dan akibat pelanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan bot tercampak ke dalam sungai.

“Dalam masa sama, tangan saya terlepas pegangan pada pemegang enjin sangkut menyebabkan bot berpusing. Selepas berjaya mengawal keadaan, saya terus menghampiri mangsa yang ketika itu sedang terkapai-kapai meminta bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.

Menurut Badrul Afiq, dia cuba menghulurkan tangan bagi menyelamatkan rakannya yang juga sahabat baik sejak kecil, namun usaha itu gagal apabila mangsa tenggelam dan terus hilang.

“Dia tak sempat jerit apa-apa. Saya tahu dia tak pandai berenang. Saya panik dan terus menjerit meminta pertolongan orang berhampiran sebelum pihak bomba dihubungi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 10.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota bersama sebuah bot penyelamat dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN