JOHOR BAHRU: Penyanyi 60-an yang popular dengan lagu Salam Mesra dan Kisah Dan Tauladan, A. Halim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.01 pagi di Hospital Penawar, Pasir Gudang di sini.
A. Halim atau nama sebenarnya, Halim Diah meninggalkan seorang balu, Fatimah Bahrin, 75, enam anak, 24 cucu dan lima cicit.

Menurut anak kelima arwah, Hafidah Halim 41, sebelum bapanya dimasukkan ke hospital Penawar pada 8 Mei, dia sesak nafas kerana kekurangan gula dalam badan.
“Asalnya kaki papa bengkak tiga hari sebelum raya dan ada jangkitan Selepas menerima rawatan di hospital papa dibawa balik ke rumah saya di Mersing sebelum dimasukkan semula ke Hospital Penawar, Pasir Gudang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Sepanjang penglibatan dalam bidang seni sejak zaman bujang lagi, Allahyarham telah menghasilkan puluhan lagu termasuk menganggotai kumpulan kugiran, antaranya kumpulan De’ Fictions, The Wanderers dan The Wisma.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Falah di sini untuk dimandi, kafan dan solat jenazah sebelum dibawa ke Perkuburan Islam Cahaya Masai. –UTUSAN










