Penjawat awam rendah naik gaji hingga 40 peratus - PM

Penjawat awam rendah naik gaji hingga 40 peratus – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kenaikan gaji penjawat awam kumpulan rendah akan mencecah 20 hingga 40 peratus mengikut perincian sebenar walaupun pengumuman semalam hanya melibatkan kadar kenaikan lebih 13 peratus.

Perdana Menteri berkata, sistem kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah bersifat lebih munasabah yang mana golongan penjawat awam pangkat tinggi akan naik sedikit, manakala mereka berpangkat rendah pula menikmati banyak kenaikan.

“Ada yang mengaitkan kenaikan kali ini lebih rendah kerana pernah mencecah 35 peratus. Sebab itu saya kata hendak kritik boleh tetapi sabar dulu, jangan sombong dan angkuh, jangan dengki kerana apabila ada pengumuman baik, orang sambut baik, dia mesti cuba berhujah untuk mencemuh.

“Saya hendak beritahu kalau tengok perincian keputusan ini sebenarnya bagi kategori rendah kenaikan itu antara 20 dan hampir mencecah 40 peratus bagi kebanyakan penjawat awam.

“Maknanya mereka peringkat rendah naik melonjak tinggi supaya walaupun (kadar gaji minimum) RM2,000 tetapi boleh hidup lebih selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri, di sini semalam.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 kelmarin, Anwar mengumumkan berita baik kepada 1.6 juta penjawat awam iaitu kenaikan gaji kepada golongan tersebut lebih 13 peratus berkuat kuasa 1 Disember tahun ini iaitu sebahagian keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Kenaikan itu tertinggi dalam sejarah selepas 12 tahun tiada penambahbaikan dilaksanakan untuk penjawat awam dengan pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun di­te­tap­kan pada kadar RM2,000 melibatkan implikasi kewa­ngan kerajaan berjumlah RM10 bilion.

Anwar turut menempelak pihak-pihak tertentu yang menuduh pengumuman kerajaan bagi penjawat awam ini adalah sebagai ‘gula-gula’ Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu ketika ini.

“Ini tidak ada kena-mengena dengan PRK KKB, keputusan kita buat awal tahun sebelum ADUN itu meninggal dunia, kemudian pengumuman ini adalah bertahap, pada 1 Mei, pada Hari Pekerja kita umum dasar, kemudian kalau sempat bawa ke jemaah menteri.

“Masa perhimpunan penjawat awam (MAPPA) nanti kita umumkan lebih terperinci dan lengkapnya pada masa belanjawan 2025 nanti.

“Tetapi sebelum itu saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyantuni semua penjawat awam, pergi ke setiap negeri bincang dan dengar kalau perlukan sedikit sebanyak penyesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memberikan jaminan keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan di Parlimen secara bergaya sebelum ia dilaksanakan pada 1 Disember nanti.

Perdana Menteri berkata, ia setelah mengambil kira sokongan yang diterima daripada kebanyakan ahli Parlimen termasuk ketua parti politik negara.

Kata beliau, antara yang memberi sokongan berkenaan adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya hendak ucap terima kasih kepada keluarga penjawat awam umumnya kerana sambut begitu baik pengumuman ini. Tetapi kita tidak boleh halang beberapa kenyataan yang hambar.

“(Ada yang kata) ini pengumuman Anwar untuk laksana Disember, mana tahu Parlimen tak lulus? Saya hendak tanya ahli Parlimen mana yang nak bantah? Kalau bantah, kita humban pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, dengan sokongan itu juga ia sudah cukup majoriti dalam memenuhi hasrat itu di Parlimen.

“Ini sudah cukup majoriti, saudara-saudara jangan bimbang Insha-Allah Parlimen akan luluskan dengan bargaya kepuutusan kita ini supaya kita dapat laksana 1 Disember ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN