BENTONG: Seorang pengguna jalan raya yang tayar keretanya bocor akibat terlanggar serpihan besi di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di sini kelmarin berhasrat membuat tuntutan ekoran kerugian dialaminya.
Pengguna jalan raya terbabit, Mohd. Amirrul Ariff Shamsudin, 30, berkata, dia sememangnya berhasrat membuat tuntutan sekiranya mendapat bantuan daripada mana-mana pihak berkenaan.
“Saya sudah pun membuat laporan polis dan bersedia membuat tuntutan tetapi saya tidak tahu caranya jika berlaku kes seperti ini.
“Kepada siapa tuntutan boleh dibuat, adakah boleh dituntut daripada pihak lebuh raya, kalau dapat ganti kos tayar pun cukuplah,” ujarnya di sini semalam.
Kelmarin, media melaporkan kejadian kebocoran tayar kenderaan akibat terlanggar serpihan besi di LPT1 yang sekali gus menggemparkan pengguna lebuh raya terbabit dan juga penduduk setempat.
Difahamkan kejadian berkenaan melibatkan tiga daerah laluan LPT1 iaitu Bentong, Temerloh dan Maran yang melibatkan lebih 100 buah kenderaan yang tersadai di tepi lebuh raya utama ke pantai timur itu.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak tentang jumlah kenderaan terlibat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis masih giat mengesan kenderaan yang dikatakan menyebabkan kepingan besi tersebut terjatuh di LPT1, kelmarin.
Beliau berkata, setakat ini hanya satu laporan polis dibuat oleh orang awam yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
“Polis masih menjejaki (kenderaan terlibat) dan polis telah merakam percakapan daripada pengadu,” katanya. – UTUSAN










