SUNGAI PETANI: Lebih 4,000 penduduk di Taman Semarak, di sini mengadu tidak selesa apabila terpaksa menghidu bau busuk ratusan ikan yang mati dalam kolam kumbahan dekat perumahan itu, sejak lima hari lalu.
Tinjauan mendapati, banyak ikan mati dan terapung di dalam kolam tersebut dengan bau busuk dapat dihidu sehingga jarak 100 meter.
Seorang penduduk, Mohd Radzi Shamsudin, 69, dari Taman Semarak Fasa 1 berkata, bau busuk itu menjejaskan perniagaan kedai makan diusahakan anaknya kerana terletak berdekatan.
“Ramai pelanggan mengeluh tidak tahan bau busuk, mereka tidak selera nak makan sebab bau itu memualkan. Keadaan itu menyebabkan anak terpaksa menutup kedai beberapa hari,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi penduduk, Nasir Yunus, 65, berkata, ratusan ikan yang mati itu kebanyakannya jenis tilapia.
“Sebelum ini air kolam kumbahan yang terletak di tengah-tengah perumahan antara fasa satu dan dua jernih serta menjadi lokasi memancing berikutan terdapat banyak ikan.
“Namun sejak Khamis lalu kami dapati airnya berubah menjadi hitam sehingga mengakibatkan ratusan ikan mati dan terapung, kami pun tidak pasti apa puncanya,” ujarnya.
Suri rumah, Maimunah Abdul Halim, 50, yang tinggal berdekatan kolam kumbahan itu pula berkata, bau busuk itu semakin hari semakin memualkan sehingga membantutkan selera makan.
“Sudahlah cuaca panas sekarang ditambah pula dengan bau busuk yang meloyakan itu, memang memeningkan kepala,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MKK) Taman Semarak, Mohd Rizal Yahaya, 55, berkata, sebelum ini penduduk tidak mempunyai masalah ekoran kolam kumbahan itu diselia dengan baik oleh pihak berkuasa.
“Kita sedang berurusan dengan pihak berkuasa untuk membersihkan bangkai ikan di kolam kumbahan ini segera bagi mengelak bau busuknya mengganggu aktiviti seharian penduduk,” katanya. – UTUSAN










