KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan City (Kelantan City FC) mendedahkan pasukan itu sedang melakukan rundingan untuk membawa masuk beberapa lagi pemain berprofil tinggi yang ketika ini masih mempunyai kontrak bersama pasukan Liga Super.
Presidennnya Tan Sri Annuar Musa berkata, kehadiran pemain berpengalaman itu penting untuk menjadi inspirasi kepada pemain muda dalam skuad.
“Kita ada dua atau tiga lagi pemain yang sedang dirundingkan. Kita simpan untuk pemain bertaraf tinggi yang mungkin masih mempunyai kontrak Liga Super.
“Kita mahu pemain baharu mendapat inspirasi daripada tonggak-tonggak ini. Walaupun bermain di Liga A1 Semi Pro, kita tidak mahu bermain mengikut standard Liga A1. Kita mahu kompetitif dengan mana-mana pasukan Liga Super,” katanya.
Annuar memberitahu, Kelantan City memilih untuk bermula di Liga A1 Semi Pro bagi memastikan kelab lebih stabil dari segi pengurusan dan kewangan.
Katanya, kelab memberi jaminan gaji pemain akan dibayar mengikut jadual selain memperkenalkan sistem bonus bagi setiap kemenangan.
“Cuma kita hendak bermula di medan A1 supaya kita stabil dan kukuh dari segi pengurusan serta kewangan.
“Gaji wajib dibayar dan kita menggunakan sistem bonus. Setiap kali menang perlawanan, pemain akan menerima bonus,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Annuar menyasarkan pasukan itu muncul juara Liga A1 Semi Pro musim ini.
Katanya, bagaimanapun sasaran minimum beliau ialah menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.
“Kita letak sasaran ’empat terbaik’ tapi kita mahu juara. Kita adalah pasukan yang dibina untuk menjadi juara, bukan sekadar melengkapkan saingan,” katanya.-UTUSAN










