PETALING JAYA: Kerajaan disaran menggunakan kerangka berasaskan data dalam melaksanakan reformasi sektor perumahan bagi mewujudkan pasaran yang lebih seimbang, inklusif dan selari dengan perubahan sosioekonomi semasa.
Pengerusi Institut Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA Institute), Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, dasar perumahan tidak lagi boleh bergantung kepada maklumat berasingan yang dikumpulkan oleh pelbagai agensi, sebaliknya perlu dipandu oleh analisis data bersepadu.
“Data berkaitan perumahan sebenarnya telah tersedia melalui pelbagai sistem, namun kekurangan penyelarasan menyebabkan maklumat berkenaan belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam perancangan dasar.
“Kami mencadangkan kepada kerajaan supaya dasar dibentuk berasaskan data. Data sangat penting.
“Ia wujud dalam pasaran, tetapi tidak disepadukan,” katanya pada Sidang Media Pelancaran Persidangan Perumahan Serantau 2026 hari ini.
Persidangan tersebut akan berlangsung pada 29 Julai 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Beliau berkata, antara sumber data perumahan yang dikendalikan agensi berbeza termasuk Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Hab Data Bersepadu (PADU).
“Bagaimanapun, data yang masih berpecah-pecah mengehadkan keupayaannya dalam membantu penggubalan dasar serta perancangan pembangunan perumahan jangka panjang.
“Penyepaduan data berkaitan pendapatan, bekalan perumahan, demografi, pengangkutan dan perancangan bandar membolehkan kerajaan membuat keputusan lebih tepat berdasarkan keperluan sebenar pasaran.
“Kecerdasan buatan (AI) dan kembar digital merupakan alat yang berkuasa, tetapi ia hanya berfungsi dengan maklumat yang bersepadu dan boleh dipercayai.
“Teknologi ini boleh mengenal pasti ketidakpadanan sebelum ribuan unit rumah dibina, termasuk menentukan jumlah rumah diperlukan, jenis kediaman, lokasi sesuai serta hubungannya dengan peluang pekerjaan dan kemudahan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN










