PETALING JAYA: Amalan subsidi silang dalam pembangunan perumahan yang menggunakan keuntungan daripada jualan rumah pasaran terbuka bagi menampung kos pembinaan rumah mampu milik perlu dikaji semula kerana dikhuatiri membebankan golongan berpendapatan sederhana (M40).
Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng berkata, pendekatan berkenaan yang dilaksanakan menerusi pelbagai dasar perumahan sebelum ini perlu dinilai semula berikutan perubahan struktur demografi, pendapatan serta corak permintaan pasaran.
Menurut beliau, dasar sedia ada yang tidak selari dengan perubahan semasa turut menyumbang kepada ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan, termasuk menyebabkan sebahagian rumah tidak terjual walaupun dikategorikan sebagai mampu milik.
“Dasar-dasar terdahulu sememangnya membantu ramai rakyat memiliki rumah, namun Malaysia telah berubah.
“Struktur penduduk, tahap pendapatan dan gaya hidup masyarakat kini jauh berbeza berbanding dahulu,” katanya semasa Sidang Media Sidang Media Pelancaran Persidangan Perumahan Serantau 2026.
Persidangan tersebut akan berlangsung pada 29 Julai 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, kajian terbaharu REHDA Institute mendapati kumpulan isi rumah terbesar berada dalam julat pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,999 sebulan, menunjukkan harga rumah mampu milik yang sesuai adalah sekitar RM200,001 hingga RM300,000.
Kajian sama turut mendapati jumlah isi rumah berpendapatan RM13,000 dan ke atas meningkat tiga kali ganda sejak 2014, menyebabkan dasar perumahan sedia ada semakin tidak sejajar dengan perubahan struktur pendapatan masyarakat.
Jeffrey berkata, perubahan landskap pendapatan turut meningkatkan tekanan terhadap kumpulan berpendapatan sederhana (M40), apabila kadar pemilikan rumah golongan berkenaan kini lebih rendah berbanding B40.
“Hari ini, B40 mendahului M40 dari segi pemilikan rumah. Pengiktirafan perlu diberikan terhadap dasar sedia ada yang selama bertahun-tahun masih belum menghasilkan perubahan yang kita mahukan.
“Amalan subsidi silang ini telah menyebabkan peningkatan harga rumah pasaran biasa, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana,” katanya.
Beliau berkata, dasar sedia ada juga gagal menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pasaran, menyebabkan berlakunya lebihan bekalan termasuk unit yang dikategorikan sebagai rumah mampu milik.
“Peningkatan harga rumah menjadikan pemilikan kediaman semakin mencabar bagi golongan M40, sekali gus menjejaskan kadar pemilikan rumah dalam kumpulan tersebut.
“Perumahan untuk semua bermaksud akses yang adil. Kita perlu memastikan semua golongan berada dalam keadaan persaingan yang sama rata,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerjasama lebih erat antara kerajaan, penyelidik dan pemain industri bagi memperkukuh penggubalan dasar melalui analisis data perumahan secara bersama.
“Sektor perumahan sosial dan awam perlu kekal diterajui kerajaan, selain menyokong penubuhan satu agensi perumahan nasional bagi menyelaras dasar perumahan secara lebih berkesan.
“Jika kita mahu rakyat Malaysia daripada semua peringkat pendapatan terus memiliki rumah, dasar perumahan perlu mengikut keperluan sebenar dan data sebenar, bukan hanya berdasarkan peraturan lama,” katanya.










