MIC mahu ADUN dilantik exco bantu misi, visi Onn Hafiz - Utusan Malaysia

MIC mahu ADUN dilantik exco bantu misi, visi Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: MIC berharap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan yang dilantik sebagai exco kerajaan akan memberi khidmat terbaik sekaligus menyokong pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengerusi MIC Johor, K. Raven Kumar berkata, pihaknya tidak bimbang soal siapakah calon berkenaan kerana keempat-empat ADUN mereka mempunyai kredibiliti dan pengalaman pentadbiran sewajarnya.

“Semua parti mengharapkan lebih ramai calon mereka dipilih, tetapi BN Johor ada sistem tersendiri dan kita tidak mahu mencabar sistem berkenaan.

“Apa yang paling penting untuk MIC adalah masyarakat India turut diwakili dalam barisan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri. Apa yang penting wakil itu boleh buat kerja dan jalankan tugas membantu misi dan visi Datuk Onn Hafiz mencatat kejayaan lebih baik kepada Johor,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Selain Raven Kumar, tiga lagi ADUN MIC adalah V. Rugendran (Kahang); P. Pannir Selvam (Perling) dan R. Kumaran (Bukit Batu).

Tambah bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor itu, pihaknya tidak terlalu mengharap untuk dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri, tetapi bersedia jika diberikan tanggungjawab itu.

“Diri saya tidak penting, kesemua wakil rakyat MIC juga berkelayakan. Walaupun tiga lagi ADUN MIC adalah muka baharu tetapi mereka ada pengalaman luas termasuklah sebagai Ahli Majlis. Pengalaman dalam pentadbiran cukup meluas.

“Saya sendiri bermula menjadi wakil rakyat pada usia 29 tahun, jadi ini merupakan salah satu usaha kita untuk melahirkan pelapis kepimpinan dalam parti. Ini akan bantu pastikan MIC kekal relevan,” katanya.

Raven Kumar turut memberitahu, kemenangan besar diperoleh MIC dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan pengundi Johor membuat pilihan masing-masing secara rasional, dan bukan mengikut emosi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN