BUKIT MERTAJAM: Dalam usaha mengawal populasi anjing dan kucing, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperkenalkan inisiatif khas di bawah Program Pemandulan Bersubsidi 2024.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, program itu bermula 14 Mei lalu dan berakhir hujung tahun ini atau sebaik sahaja slot yang dikhususkan untuk pemandulan tersebut penuh.
Beliau berkata, program terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam di seluruh Seberang Perai serta melibatkan kerjasama tiga klinik veterinar swasta.
“Subsidi bagi seekor anjing dan setiap ekor kucing adalah RM100 serta RM50. Subsidi tidak diberikan dalam bentuk tunai tetapi dalam bentuk potongan harga daripada kos pemandulan yang dikenakan klinik terlibat,” katanya di sini, semalam.
Azhar berkata, Program Pemandulan Bersubsidi itu secara tidak langsung meringankan beban NGO terlibat.
“Sehingga kini, lebih 450 ekor haiwan terbiar dimandulkan oleh NGO terlibat,” katanya yang memberitahu subsidi juga diberi sebagai insentif kepada orang awam.
Sehubungan itu Azhar berkata, mana-mana NGO atau orang awam yang berminat boleh mendaftarkan haiwan jagaan masing-masing melalui pautan Google Form MBSP atau hadir ke klinik veterinar swasta terlibat. – UTUSAN










