JERANTUT: Aktif dalam sukan bola baling sehingga ke peringkat kebangsaan tidak menghalang Muhammad Irham Hijazi Shamshul Nizam, 18, memperoleh semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Afzan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP), Temin itu memperoleh 9A dalam semua subjek.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak pasangan guru itu berkata, pembahagian masa berjadual dan teratur antara sukan dan pelajaran merupakan disiplin yang dipraktikkan dalam kehidupan sebagai pelajar sehingga berjaya ‘menuai’ hasil dalam peperiksaan tersebut.
“Tidak ada rahsia besar untuk memperoleh kejayaan SPM ini. Sebagai pelajar perlu bersungguh-sungguh di dalam dan luar kelas. Sekiranya guru sahaja bertungkus-lumus, tetapi pelajar buat sambil lewa sahaja kejayaan tidak akan datang bergolek.
“Selain itu, taat kepada ibu bapa, menghormati guru dan rakan serta sentiasa fokus di dalam kelas semasa belajar kerana titipan ilmu serta nasihat guru akan memperoleh keberkatan serta terhidang kejayaan pada pada masa akan datang,” katanya di sini, semalam.
Muhammad Irham Hijazi pernah mewakili Pahang menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sukan bola baling bawah 12 tahun dan mewakili negara ke Kejohanan Bola Baling Terbuka Singapura (2022) ketika berusia 16 tahun. – UTUSAN










