KOTA BHARU: Pasukan bola baling lelaki bawah 18 tahun (B-18L) Kota Bharu Selatan (KBS) menegaskan mereka tidak hadir sekadar melengkapkan jadual pertandingan pada Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah Kelantan (MSSK) 2026.
Sebaliknya, mereka bertekad mencipta kejutan walaupun berstatus bukan pilihan pada kejohanan yang akan berlangsung dari 20 hingga 29 Julai ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala.
Turun tanpa sebarang tekanan sebagai pasukan yang tidak diberikan perhatian, skuad B-18L KBS melihat situasi itu sebagai satu kelebihan untuk mempamerkan kemampuan sebenar apabila saingan bermula.
Pada kejohanan itu, B-18L KBS yang dibimbing oleh Noor Maisarah Mamat diundi dalam Kumpulan B bersama Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang, mereka perlu menamatkan saingan di kedudukan dua teratas untuk ke peringkat seterusnya.
Menurut Noor Maisarah, status sebagai ‘underdog’ tidak sedikit pun melemahkan semangat pemain, malah menjadi pembakar semangat untuk membuktikan mereka mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan-pasukan pilihan.
“Sejujurnya, tahun ini merupakan tahun pertama saya membimbing pasukan ini selepas berpindah ke Kelantan. Persiapan kami juga agak terhad kerana Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) berlangsung terlalu hampir dengan MSSK.
“Bagi saya, ini merupakan permulaan buat pasukan KBS. Tahun kedua nanti, kami akan memberikan cabaran yang sebenar. Pada MSSK tahun ini, kami akan memberikan tentangan sebaik mungkin dan semua pemain juga berjanji akan berikan yang terbaik.
“Kami mahu mengembalikan semula kegemilangan KBS dalam sukan ini. Terima kasih juga kepada bekas-bekas pemain yang turun padang membantu saya membentuk pasukan kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Noor Maisarah, pasukan juga giat mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai medan menguji kombinasi pemain selain mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum saingan sebenar bermula.
Tambah beliau, kekuatan utama B-18L KBS tahun ini ialah semangat berpasukan yang tinggi, komitmen pemain ketika latihan serta kesungguhan mereka untuk mengharumkan nama daerah.
“Sasaran kami bukan sekadar memberi saingan, tetapi mahu melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini. Jika diberi peluang, kami mahu menjadi pasukan yang mencetuskan kejutan pada MSSK tahun ini,” katanya.
Dengan semangat juang yang tinggi, B-18L KBS berharap mampu mengubah tanggapan ramai bahawa mereka bukan sekadar pelengkap jadual, sebaliknya pencabar yang berpotensi mencuri tumpuan pada Kejohanan Bola Baling MSSK 2026.- UTUSAN










