Pencapaian SPM 2023 Perak meningkat - Utusan Malaysia

Pencapaian SPM 2023 Perak meningkat

MOHAMAD Fauzi Mahson (empat dari kiri) menunjukkan analisis keputusan SPM 2023 negeri Perak pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSANMUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak mencatat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.75 berbanding 4.92 tahun  sebelumnya.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, berdasarkan keputusan yang dikeluarkan hari ini, seramai 772 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran dibandingkan 669 calon tahun sebelumnya.

Menurutnya, bilangan calon memperolehi sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran juga meningkat seramai 3,458 orang berbanding 3,192 calon pada 2022.

“Seramai 15,900 calon atau 58.33 peratus telah memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2023 iaitu peningkatan 1,140 pelajar berbanding 14,760 calon (53.46 peratus) pada 2022.

“Tahun ini peratusan calon yang layak menerima sijil SPM adalah 92.55 peratus iaitu 25,227 orang, meningkat 2.45 peratus jika dibandingkan pada 2022 yang merekodkan 24,877 calon (90.10 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar analisis keputusan SPM 2023 negeri Perak di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian pelajar bandar dan luar bandar juga bertambah baik dengan jurang pencapaian calon 0.01 mata berbanding 0.02 pada 2022.

“Peningkatan ini adalah hasil beberapa inisiatif yang digerakkan JPN bersama kerajaan negeri antaranya melalui program Tuisyen Cikgu Saarani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN