PETALING JAYA: Pasukan pertama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan 16 individu bagi musim haji tahun ini berlepas ke Jeddah, Arab Saudi, semalam bagi melakukan persediaan awal untuk jemaah dari Malaysia.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pasukan tersebut membabitkan petugas kebajikan, perubatan dan pegawai teknologi maklumat bagi memastikan talian kemudahan komunikasi berfungsi dengan baik sepanjang musim haji.
Menurutnya, keberangkatan semua petugas ke Tanah Suci dilakukan secara berperingkat melalui beberapa penerbangan bermula kelmarin sebelum diikuti penerbangan pertama jemaah haji pada 9 Mei ini.
“Pasukan kedua petugas dijadual berlepas ke Jeddah esok iaitu seramai 150 orang termasuk 14 pengamal media daripada pelbagai agensi dari tanah air.
“Pasukan ketiga petugas pula dijadual berlepas pada 6 Mei ini membabitkan 70 orang, manakala selebihnya berlepas bersama jemaah haji pada 9 Mei nanti,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Syed Saleh berkata, hampir 600 petugas TH akan digerakkan ke Arab Saudi pada musim haji tahun ini, bagi membantu melancarkan perjalanan ibadah haji jemaah Malaysia kali ini.-UTUSAN










