Alangkah baiknya LRT3 ikut rancangan asal – Sultan Selangor

Alangkah baiknya LRT3 ikut rancangan asal – Sultan Selangor

SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah (kiri) berkenan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) dari Stesen Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam. – SELANGOR PRESS OFFICE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pandangan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) yang dibuka kepada awam pada 29 Jun lalu, lebih baik disiapkan mengikut perancangan asal.

Istana Alam Shah dalam kenyataan berkata, kemudahan pengangkutan awam itu amat penting demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Sultan Selangor turut menanti pembinaan lima lagi stesen yang tertangguh sebelum ini iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dijangka bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berkenaan.

“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 siap seperti perancangan asal kerana baginda berpandangan perkhidmatan tren itu adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.

“(Bagaimanapun) Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor dan Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam siap dan boleh digunakan. Baginda juga percaya ada hikmah yang Allah ingin tunjukkan daripada kelewatan itu,” kata kenyataan itu semalam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menaiki LRT Laluan Shah Alam dari Stesen Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Stesen Johan Setia, Klang.

Pada Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Sharafuddin mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan menuntut pengiktirafan sebagai pihak yang bertanggungjawab merealisasikan LRT laluan tersebut yang diasaskan projek pada 2016.

Baginda bertitah, projek berkenaan berjaya disiapkan hasil kesinambungan dasar, komitmen dan kerjasama beberapa pentadbiran demi kese­jahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Se­langor berkenan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Prasarana dan MRCB serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 ini.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada lebih 13,000 orang yang menjayakan pembinaan pe­ngang­kutan awam itu.

“Mereka terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, tenaga mahir, pekerja pembinaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, kakitangan pentadbiran serta petugas sokongan melibatkan rakyat Malaysia dan juga pekerja dari luar negara,” tambahnya.

Kata kenyataan itu, Prasarana diharapkan supaya memastikan kelancaran operasi LRT3 dengan berusaha meminimumkan sebarang gangguan.

“Baginda juga berpesan kepada rakyat supaya memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren itu yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN