Harga emas diunjur turun sekitar RM450 segram tahun ini - Utusan Malaysia

Harga emas diunjur turun sekitar RM450 segram tahun ini

CHARLES Brewer (kiri) bersama Fong Pok Yee (kanan) ketika pelancaran Pos ArRahnu Gold-i di Pos Malaysia Kompleks Daya Bumi, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas tempatan diunjur turun dalam julat antara RM520 hingga RM450 segram tahun ini berdasarkan dinamik pasaran semasa, sebelum dijangka kembali melonjak pada tahun hadapan.

Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd, Hong Kok Wah berkata, trend penurunan jangka pendek ini merupakan kitaran biasa pasaran memandangkan harga emas global juga diunjur berlegar antara AS$3,800 hingga AS$4,200 seauns (sekitar RM551 segram) menjelang hujung tahun ini.

Menurut beliau, pergerakan harga komoditi itu dipengaruhi oleh tekanan pasaran minyak mentah global serta langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang dijangka menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi tahun ini.

“Apabila inflasi meningkat dan Fed menaikkan kadar faedah, harga emas cenderung untuk kekal berada pada paras yang lebih rendah terlebih dahulu untuk tahun ini.

“Bagaimanapun, tindakan menaikkan kadar faedah ini memerlukan masa sebelum kesannya benar-benar dirasai dalam ekonomi dan keadaan ini akan mula memberi tekanan kepada prestasi ekonomi global,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran platform emas digital Pos ArRahnu Gold-i, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Kok Wah berkata, landskap pasaran dijangka berubah sepenuhnya menjelang tahun hadapan sekiranya prestasi ekonomi dunia mula kurang memberangsangkan.

“Pada waktu itu, terdapat kebarangkalian untuk Fed memotong semula kadar faedah berkenaan. Sentimen tersebut akan melonjakkan semula harga emas lebih tinggi, didorong oleh tarikan komoditi itu sebagai aset perlindungan selamat. 

“Jadi secara asasnya, trend harga emas akan bergerak rendah dahulu sebelum meningkat semula tahun hadapan,” tambahnya. 

Sementara itu di pasaran global, emas spot mencatatkan penurunan sehingga 1.4 peratus kepada hampir AS$4,060 seauns awal pagi Isnin, menyamai keseluruhan kadar kerugian peratusan pada minggu lalu.

Kemerosotan itu berlaku di tengah-tengah kekeliruan berhubung status laluan perkapalan di Selat Hormuz, selepas Amerika Syarikat (AS) menafikan kenyataan Iran bahawa laluan air strategik berkenaan akan ditutup “sehingga diberitahu kelak”.

Bagi pedagang emas, peningkatan konflik di Asia Barat ini mencetuskan kebimbangan bahawa Fed mungkin perlu mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama bagi memerangi inflasi yang tinggi dan berlarutan.

Minit mesyuarat Fed bagi Jun yang dikeluarkan minggu lalu turut menunjukkan beberapa penggubal dasar melihat ada keperluan untuk menaikkan kadar faedah, walaupun pada akhirnya mereka menyokong keputusan untuk mengekalkannya stabil buat masa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN