Surat sah nikah Thai kepada pasangan tanpa dokumen dihentikan - Utusan Malaysia

Surat sah nikah Thai kepada pasangan tanpa dokumen dihentikan

MAJLIS Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hampir 100,000 pasangan yang bernikah di selatan Thailand tanpa doku­men perjalanan sah sejak 1 September 2016, berisiko ber­­de­­pan pelbagai implikasi undang-undang selepas Kon­­­sulat Jeneral Malaysia di Songkhla menghentikan pem­­berian su­rat pengesahan perkahwinan.

Situasi itu berpotensi menjejaskan institusi keluarga se­perti pendaftaran perkahwi­nan di pejabat agama, status anak, tuntutan harta pusaka, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hak faraid dan urusan perceraian.

Pengarah Urusan Firma Gua­­man Aniza Nazri Consultancy, Datuk Ahmad Nazri Minhat berkata, Konsulat Je­neral Malaysia di Songkhla te­lah mengeluarkan notis ber­kenaan pada 1 Jun lalu bahawa, mereka tidak lagi mengeluarkan surat pengesahan perkahwinan kepada pasa­ngan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

“Arahan itu difahamkan datang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dikatakan turut terpakai kepada pasangan yang bernikah sejak 1 September 2016.

“Jika tarikh tersebut dijadikan asas pelaksanaan, anggaran awal menunjukkan ratusan ribu pasangan berpotensi terkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut prosedur, pasa­ngan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sebelum mendaf­tarkan perkahwinan mereka di pejabat agama di negara ini.

Langkah itu penting bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf di sisi undang-undang serta memudahkan urusan berkaitan anak, pewarisan, tuntutan manfaat dan pembubaran perkahwinan pada masa depan.

Menurut Ahmad Nazri, arahan itu boleh menyebabkan pasangan gagal mendaftarkan perkahwinan di pejabat agama manakala anak pula berisiko tidak dapat ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ kepada bapa kandung.

Katanya, wanita yang di­tinggalkan suami juga mungkin tidak dapat memfailkan perceraian, sementara keluarga yang kehilangan pasangan berdepan kesukaran membuat tuntutan harta pusaka, KWSP, Perkeso dan hak faraid.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pentadbiran syariah, malah membawa implikasi sosial yang besar kepada wanita dan anak-anak,” katanya.

Beliau turut mendakwa, wujud kekeliruan pentadbiran apabila terdapat pejabat agama menerima pendaftaran perkahwinan tanpa surat pengesahan daripada konsulat, sedangkan Mahkamah Syariah masih memerlukan dokumen tersebut.

Katanya, pihak konsulat pula tidak lagi mengeluarkannya susulan arahan Jakim.

“Dalam keadaan ini, rakyat terperangkap dalam situasi dasar antara dua badan yang mempunyai bidang kuasa berbeza.

“Pihak mahkamah juga me­nyatakan bahawa Konsulat Jeneral Malaysia tidak sepatutnya menerima arahan daripada Jakim kerana kedua-duanya beroperasi di bawah mandat pentadbiran yang berlainan,” katanya.

Ahmad Nazri merayu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Jakim supaya pelaksanaan arahan secara retrospektif bermula 1 September 2016 itu dihentikan.

Katanya, selain itu prosedur antara pejabat agama dan Mahkamah Syariah juga perlu diselaraskan.

Beliau turut mencadangkan supaya dasar baharu itu dikuatkuasakan secara prospektif bermula Julai 2026 iaitu hanya melibatkan pasangan yang bernikah selepas tarikh tersebut tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pendekatan itu dilihat lebih adil, berperikemanusiaan dan tidak menzalimi pasangan yang telah bernikah secara sah bertahun-tahun sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN