PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan akan menggunakan logo sendiri bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula Sabtu ini.
Langkah itu antara kemungkinan yang relevan diambil selepas pucuk pimpinan parti mengambil kira keputusan PRN Johor Ke-16.
Situasi di Johor menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terpecah dua, lantas mengelirukan pengundi terutama dalam kalangan orang Melayu, meskipun Bersatu, Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggunakan logo sama di 33 kerusi ditandingi mereka.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Bersatu telah membeli 60 set Borang Pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi di Negeri Sembilan.
Katanya, sekiranya menggunakan logo sendiri, Bersatu akan memasuki gelanggang bersama parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“Dalam keadaan sekarang, kemungkinan besar Bersatu akan menggunakan logo sendiri. Kami ambil kira situasi di Johor baru-baru ini apabila seolah-olah ada ‘PN A’ dan ‘PN B’, ini buatkan golongan pengundi keliru.
“Jika begitu strategi yang digunakan adalah lebih baik Bersatu guna lambang sendiri. Pertimbangan ini sudah lama dibincangkan, bagaimanapun keputusan PRN Johor lalu menguatkan lagi arah tujuan Bersatu di PRN Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) membuktikan Johor adalah kubu kuat mereka dan keputusan untuk bertanding solo adalah tepat apabila parti itu bukan sahaja mengekalkan pemerintahan, malah turut mencatatkan kemenangan dengan mandat lebih meyakinkan.
Kemenangan BN di 48 kerusi memberi tamparan hebat kepada PN, khususnya Bersatu yang gagal memenangi sebarang kerusi.
Bersatu yang berdepan konflik dalaman dengan Pas meletakkan calon di 16 daripada 33 kerusi ditandingi PN. Namun, gagal mempertahankan DUN Bukit Kepong dan Endau yang disandang mereka.
Sumber berkata, bagaimanapun isu penggunaan logo hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan mengenai pembahagian kerusi dibuat dalam kalangan parti komponen PN.
“Bagaimanapun jika tiada keputusan positif dapat dicapai, Bersatu akan menggunakan logo sendiri dan bertanding di 30 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi, sekali gus dengan hasrat membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, pimpinan utama Bersatu yang dihubungi antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz enggan mengulas kemungkinan itu.
Bagaimanapun, pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menyokong penggunaan logo sendiri bersama rakan kerjasama (electoral pact) lain dalam PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, tindakan itu wajar kerana Negeri Sembilan merupakan antara lokasi awal bermulanya penubuhan dan pembangunan parti itu.
Katanya, PRN Johor membuktikan Pas mengkhianati rakan-rakan komponen dalam PN sehingga mengelirukan pengundi.
“Bangsa Johor akhirnya tidak dapat memilih alternatif kepada BN.
“PN berpecah dan Pengerusi PN gagal dalam memegang amanah sebagai ketua gabungan. Rakan PN pula hilang kepercayaan kepada Pengerusi PN,” katanya.
Sementara itu, Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brundage berkata, tiada keperluan untuk menggunakan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan.
Katanya, perkara paling penting adalah kesepakatan kerana logo PN hanya mempunyai makna, sekiranya semua komponen benar-benar bergerak sebagai satu pasukan.
“Sekiranya penyelarasan itu masih tidak dapat dicapai, barulah pimpinan Bersatu perlu menilai semula semua pilihan yang ada.
“Namun begitu, PN perlu mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor. Walaupun menggunakan logo sama, ia masih boleh mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan pengundi jika terdapat mesej dan arahan berbeza daripada parti-parti komponen,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, penggunaan logo PN memberikan impak lebih besar berbanding penggunaan logo Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan.
Katanya, isu utama bukan terletak pada logo yang digunakan, sebaliknya aliran sokongan politik yang berlaku antara parti-parti terlibat.
“Persoalan yang timbul adalah aliran sokongan yang diberikan Pas kepada BN semasa PRN Johor berbanding sokongan yang sebelum ini diharapkan dapat memanfaatkan Bersatu.
“Jadi bila tidak ada kerjasama di dalam satu gabungan, maka Pas merasakan bahawa tidak ada wujud keperluan membantu Bersatu.
“Dalam kedudukan PN kini, Bersatu boleh mempertimbangkan penggunaan logonya sendiri supaya tidak terus dilabel sebagai sebahagian daripada PN,” katanya. – UTUSAN










