POPULARITI kumpulan Oneus di Malaysia memuncak meskipun mereka belum setaraf Big Bang, BTS atau Super Junior.
Hal tersebut terbukti apabila kira-kira 1, 000 peminat membanjiri Zepp Kuala Lumpur bagi menyaksikan persembahan sulung kumpulan tersebut di negara ini, baru-baru ini.
Kedatangan mereka menerusi siri jelajah dunia La Dolce Vita telah melunaskan impian peminat di Malaysia yang sekian lama memasang hasrat untuk melihat secara lebih dekat kumpulan ini beraksi di pentas.
Oneus yang dikatakan kumpulan K-Pop bakal mencipta nama di pentas antarabangsa tahun ini tidak menghampakan, malah memberikan persembahan kelas pertama meskipun sekadar beraksi di Zepp Kuala Lumpur yang ruang pentasnya tidaklah sebesar Axiata Arena mahupun Stadium Nasional Bukit Jalil.

Oneus membuktikan kelainan daripada persembahan yang pernah disajikan menerusi persembahan artis-artis yang sebelum ini pernah membuat persembahan di negara ini.
Selain mempamerkan koreografi tarian bertenaga, konsep persembahan yang dihidupkan dengan teknologi lampu persembahan bertaraf kelas pertama wajar diberi pujian.
Peminat malam itu bukan sekadar menyaksikan sebuah persembahan tetapi juga satu pengalaman luar biasa yang jarang dipertontonkan dalam mana-mana konsert artis meningkat naik sebelum ini.
Malah kumpulan yang mula diperkenalkan pada tahun 2019 itu menyantuni peminat dengan menghadiahkan 17 lagu yang antaranya sebelum ini diminta peminat untuk dipersembahkan.
Konsert itu juga mencipta sejarah tersendiri apabila Oneus menjadi artis K-Pop pertama menyarungkan baju Melayu sebagai antara persalinan yang digayakan mereka pada konsert tersebut.
Keterbukaan mereka disambut baik, membuatkan ada kalangan audiens menjadi tidak keruan selain bertukar histeria menyaksikan kelima-lima anggota Oneus dalam persalinan tradisional tersebut.

“Tidakkah kami kelihatan tampan dalam persalinan ini?”
“Kami dimaklumkan baju ini merupakan busana tradisional negara ini dan kerana itu kami memutuskan untuk memakainya,” ujar salah seorang anggotanya, Xion.
Salah seorang anggota Oneus, Leedo mencuri perhatian malam itu apabila sekadar mengenakan seluar bagi busana tersebut gara-gara baju Melayu yang disediakan tidak muat dipakainya.
Dewan Zepp Kuala Lumpur bertukar gamat sebaik sahaja tiga anggota kumpulan tersebut, HwanWoong, Seoho dan Xion membuat kejutan menerusi tarian berlatar belakangkan lagu Alamak Raya lagi yang dipopularkan kumpulan De Fam.
“Lagu ini menyeronokkan. Kami diberitahu ia popular di TikTok,” kata Hwanwoong.

LATAR BELAKANG
ONEUS yang dianggotai Seoho, Leedo, Keonhee, Hwanwoong dan Xion mula diperkenalkan pada 2019.
Pada awalnya kumpulan ini dianggotai enam ahli namun bertukar lima selepas Ravn mengundurkan diri pada 2022.
Oneus merekodkan kejayaan manis apabila single Valkyrie yang terkandung dalam album EP mereka, Light Us menjuarai carta iTunes di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Australia.
Populariti kumpulan ini memuncak menerusi penghasilan dua album penuh, iaitu Devil yang diterbitkan pada 2021 dan Dopamine pada tahun seterusnya.
Pencapaian demi pencapaian diraih kumpulan ini antaranya kemenangan kategori Rising Star Awards menerusi anugerah Fan N Star pada 2019 selain Anugerah Icon dan Artis baru terbaik bagi Soribada Best K-Music Awards.










