PUTRAJAYA: Malaysia berpandangan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti kekal relevan dan berdiri teguh bersama masyarakat Palestin yang tertindas dengan menyebarkan keamanan dan bertindak menegakkan sistem keadilan antarabangsa.
Berucap ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sesi Ke-15 Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Gambia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, peningkatan ketegangan di Asia Barat sudah pasti memberi risiko kepada ekonomi global dan kemajuan ummah.
Dalam hal itu, beliau menggesa OIC bekerjsama dengan masyarakat antarabangsa untuk menangani punca masalah itu iaitu kependudukan haram Israel di Palestin selama lebih tujuh dekad lalu.
“OIC mesti menjadi suara untuk mendidik mereka yang sesat atau orang ramai yang salah maklumat, supaya mereka memahami undang-undang dan aspek sejarah perjuangan Palestin, barulah kita boleh nampak kemajuan.
“Oleh itu, OIC mesti terus bekerja tanpa henti dengan negara yang berfikiran sama dalam mengejar empat bidang keutamaan iaitu mewujudkan gencatan senjata serta-merta dan kekal; mewujudkan akses selamat dan tanpa halangan untuk penyampaian bantuan.
“Ini termasuk memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa; dan kemasukan Palestin sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah lama dinafikan,” katanya semalam.
Mohamad berkata, Malaysia turut bimbang dengan kebangkitan Islamofobia, terutamanya prasangka buruk dan diskriminasi terhadap umat Islam, termasuk lah dalam wacana awam dan perbahasan dasar tentang umat Islam.
Sejak kebelakangan ini, katanya, parti politik sayap kanan, pemimpin agama dan juga pelakon negara barat, membuat ejekan terhadap kepelbagaian agama dan kepercayaan termasuk perbuatan sengaja membakar dan mencemarkan al-Quran.
Lebih memalukan, tegas beliau, mereka merasionalkan tindakan itu tanpa menghiraukan sama sekali prinsip asas hak asasi manusia, sekali gus menonjolkan sikap kepura-puraan dan dwi standard paling teruk.
“OIC mesti menggandakan usaha dalam memerangi lonjakan Islamofobia. Kita mesti bekerjasama rapat dengan Duta Khas PBB dalam menangani Islamophobia.
“Bagi pihak Malaysia, kami aktif mempromosikan dialog antara agama dan budaya dalam memupuk keamanan, kesederhanaan dan toleransi beragama sekali gus menjadi jambatan jurang salah faham dan ketidakpercayaan yang membawa kepada Islamofobia,” katanya.
Menurut Mohamad, Malaysia akan akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ketua Agama dari 7 hingga 8 Mei ini dengan tema ‘Kepelbagaian dalam Perpaduan’, justeru berharap pemimpin Islam, ulama dan pelbagai pemimpin agama dari seluruh dunia akan menyertai platform itu.
Pada masa sama, Malaysia berharap semua pemimpin agama dapat mengatasi jurang dalam mencapai keharmonian beragama yang diperlukan di dunia hari ini.
“OIC juga mesti meneruskan usaha membantu umat Islam minoriti dan komuniti di luar negara anggota, termasuk Rohingya, untuk menjaga maruah mereka, budaya dan agama identiti, serta memperbaiki keadaan mereka.
“Malaysia mengulangi komitmen dan sokongan kepada OIC dalam menggalakkan keamanan, keselamatan, pembangunan, dan kesejahteraan ummah yang hanya boleh dicapai melalui perpaduan dan kerjasama,” katanya. – UTUSAN









