Noktahkan polemik heret UiTM dalam isu  'parallel pathway'

Noktahkan polemik heret UiTM dalam isu  ‘parallel pathway’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menyelesaikan isu  parallel pathway’ yang kini berlarutan sehingga mengheret Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kancah pertikaian.

Timbalan Presidennya, Ahmad Thibri Mashri berkata, UiTM bukanlah penyelesaian kepada kemelut “parallel pathway” khususnya buat graduan yang menjalankan program latihan ijazah lanjutan kepakaran yang tidak diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Menurut beliau, jika UiTM menerima kemasukan pegawai perubatan termasuk bukan bumiputera yang terkesan ke program pasca siswazah usahasama UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) selepas ini akan timbul pula masalah ketidakpatuhan kepada nisbah tenaga pengajar dan pelatih untuk kohort pengajian sedia ada di UiTM.

“Hal ini pastinya bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang ada, malah menggandakan pula kesan buruknya apabila keseluruhan kohort pengajian tidak melepasi piawaian. 

“Natijahnya, keluaran doktor pakar negara yang sedia kekurangan kian meruncing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu dilaporkan, UiTM menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program `parallel pathway’ dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu  menerima pelajar antarabangsa.

Namun, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Mengulas lanjut, Ahmad Thibri berkata, institusi UiTM dijamin Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153.

“Perkara 153 pula adalah “quid pro quo” kepada sekalian anugerah bernegara yang diberi kepada bukan bumiputera.

“Kebiadaban mempersoalkan kewujudan UiTM ini sangat merisaukan kerana mampu mengundang cabaran untuk perkara yang telah dikompromi mengenai penubuhan UiTM yang pastinya mampu menggugat keharmonian dan keamanan,” katanya,

Kata beliau, polemik UiTM berterusan sehingga ada penulis chauvinis dan disokong seorang ahli akademik kononnya  penggunaan istilah aparteid  kepada sistem uiTM adalah tepat.

“Sokongan ini  janggal kerana hakikatnya ahli akademik berkenaan gagal melihat kepentingan UiTM dalam konteks keseimbangan pendidikan, ekonomi dan sosial yang lebih luas.

“Walaupun membentuk 70 peratus komposisi kaum di negara ini, orang Melayu dan bumiputera masih tidak memiliki perwakilan secukupnya dalam hampir segenap aspek.

“Pendapatan perkapita terendah pada kadar RM4,846, pegangan ekuiti terendah pada kadar 16 peratus dan perwakilan 46 peratus dalam profesion berdaftar bidang perubatan adalah beberapa parameter yang membuktikan perkara ini,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN