NEW YORK: Sebuah pesawat amfibia melakukan pendaratan cemas di Sungai East yang terletak di antara Brooklyn dan Manhattan di sini, tengah hari kelmarin.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.01 tengah hari waktu tempatan yang melibatkan sebuah pesawat mendarat cemas di kawasan utara Jambatan Williamsburg.
Susulan kejadian, pasukan penyelamat FDNY berjaya mengeluarkan kesemua lapan individu yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Dua daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan ringan tetapi enggan menerima rawatan lanjut di lokasi kejadian. Pesawat itu kini kemudian ditunda ke jeti berhampiran.
Berdasarkan rekod penerbangan, pesawat jenis Kodiak 100 itu berlepas dari Lapangan Terbang Bandar East Hampton pada jam 11.24 pagi sebelum insiden berlaku.
Sementara itu, rakaman audio daripada laman ATC.com sempat mengesan detik cemas ketika helikopter Jabatan Polis New York (NYPD) bergegas ke lokasi kejadian selepas juruterbangnya melaporkan panggilan kecemasan.
Dalam pada itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan bahawa impak pendaratan yang kuat itu menyebabkan salah satu topang sayap pesawat patah.
FAA memaklumkan siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
Semakan rekod pemilikan agensi itu mendapati pesawat tersebut dibuat tahun lalu itu Bbagaimanapun, ia tidak mendedahkan identiti pemiliknya kepada umum. – AGENSI










