PETALING JAYA: Skuad hoki remaja kebangsaan terpaksa akur dengan kehebatan pasukan senior Jepun apabila tewas 5-0 dalam satu aksi persahabatan di Gifu, Jepun, hari ini.
Itu merupakan aksi persahabatan pertama Young Tigers apabila mereka kini sedang melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 yang akan diadakan di Moqi, China pada September ini.
Selepas ini, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu akan mengadakan empat aksi persahabatan menentang pasukan remaja Jepun sebagai salah satu langkah pendedahan kepada perlawanan berintensiti tinggi dan mengukur tahap barisan pemain muda negara ketika ini.
Keempat-empat perlawanan tersebut akan diadakan esok, Jumaat, Sabtu dan Ahad ini sebelum pasukan pulang ke Malaysia pada 13 Julai ini. – UTUSAN










