KLUANG: Allahyarhamah Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah pada 16 Jun lalu, dinaikkan ke pangkat Lans Koperal (LKpl).
Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Azhan Md. Hashim menyerahkan Sijil Kelulusan Kenaikan Pangkat itu kepada ibu Allahyarhamah, Zaleha Said ketika mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman keluarga Allahyarhamah di Taman Sri Lambak, di sini.
Menurutnya, Siti Khadijah dinaikkan ke pangkat LKpl secara anumerta atau posthumous.
“PTD turut menyampaikan sumbangan peribadi dan lain-lain sumbangan daripada Yayasan Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD).
“Selain itu, menyampaikan kotak rezeki daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Insurans Kelompok Koperasi Tentera kepada bapa Siti Khadijah, Sungip Jais,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, TDM memaklumkan Zaleha turut menerima pencen terbitan, pencen orang tanggungan dan Ex-Gratia orang tanggungan berjumlah RM1,682.60 sebulan.
Tambah kenyataan itu, TDM sentiasa memastikan kebajikan warga dan keluarga mereka terus terpelihara.
“Dengan menentukan waris menerima hak dan kelayakan mengikut peraturan yang terdapat dalam perkhidmatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dua anggota TDM, termasuk Siti Khadijah, maut dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Darat dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia. – UTUSAN










