Presiden KAF dinobat Tokoh Generasi Felda 2026 - Utusan Malaysia

Presiden KAF dinobat Tokoh Generasi Felda 2026

AMIZAR Abu Adam (tiga kiri) menerima anugerah Tokoh Generasi Felda 2026 daripada Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan Ulang Tahun ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Presiden Kami Anak Felda (KAF), Datuk Amizar Abu Adam dinobatkan sebagai Tokoh Generasi Felda 2026 sempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan Ulang Tahun ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan ribuan warga peneroka dari seluruh negara yang membanjiri perkarangan stadium berkenaan, sekali gus menjadi kemuncak sambutan 70 tahun penubuhan Felda.

Pemilihan Amizar yang mewakili Wilayah Mempaga disifatkan bertepatan dengan komitmen berterusan beliau mengangkat suara generasi baharu Felda menerusi pelbagai usaha memperkasakan pendidikan, keusahawanan, kepimpinan belia dan pembangunan komuniti.

Sebagai Presiden KAF, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dan Exco Kerajaan Pahang turut memainkan peranan penting memperkukuhkan hubungan antara warga peneroka dengan kerajaan serta pelbagai agensi bagi memastikan agenda pembangunan Felda terus relevan mengikut keperluan semasa.

Selain Amizar, Anugerah Tokoh Peneroka disampaikan kepada Muhammad Amin Sardi, 73, dari Felda Bukit Puchong, Wilayah Mempaga, manakala Milah Yoot dari Wilayah Segamat menerima Anugerah Tokoh Penerokawati.

Bagi kategori belia, Tauw Fek Maslam, 39, dari Felda Palong 9, Wilayah Raja Alias, dipilih sebagai Tokoh Belia, sementara Siti Rohayu Sulong menerima Anugerah Tokoh Beliawanis.

Anugerah Hari Peneroka Felda menjadi simbol penghargaan kepada individu yang menunjukkan kepimpinan, jasa, pengorbanan dan komitmen tinggi dalam memajukan tanah rancangan sepanjang tujuh dekad penubuhan agensi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN