PETALING JAYA: Negara sedang pesat membangun di Asia Tengah berpotensi menjadi rakan kerjasama strategik yang baik kepada Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaringan dengan negara-negara sedang pesat membangun itu amat penting dalam keadaan dunia tidak menentu pada masa kini.
Katanya, ia bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing melalui kolaborasi dalam pelbagai bidang baharu.
“Kalau dilihat dari segi pelaburan, negara seperti China, Jerman dan Amerika Syarikat itu pelaburan besar, tentunya akan memberi manfaat dari segi peluang pekerjaan serta pusat kecemerlangan latihan.
“Tetapi kekuatan negara ekonomi sedang pesat membangun ini, terutama Uzbekistan, adalah jaringan dengan syarikat peringkat pertengahan yang akan membabitkan secara langsung pengusaha dan pada peringkat pertengahan (di Malaysia),” katanya seperti dilapor Bernama.
Perdana Menteri berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatan beliau ke Uzbekistan, hari ini. –UTUSAN










