CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diarahkan untuk mengambil tindakan segera membaik pulih runtuhan tebing yang berlaku di perumahan mewah Cassia Garden Residence, di sini yang berisiko mengancam nyawa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu memberi jaminan, kerja-kerja pembaikan segera dengan memasang jeriji besi akan dimulakan seawal hari ini bagi mengelak runtuhan susulan berlaku ekoran pergerakan tanah masih aktif.
Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang, pihak MPSepang akan mengetusi kerja-kerja pembaikan dan dipantau secara terus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk memberi kelulusan terus peruntukan di bawah kerja-kerja kecemasan.
“Kita akan ambil tindakan segera, saya sudah arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memasang jeriji besi dahulu, dan kemudian kerja-kerja lain akan dilihat dari semasa ke semasa.
“Kita jangkakan dalam tempoh sebulan ini dapat disiapkan termasuk menimbus balik tanah dan memasang balik saluran pembetung yang runtuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan tanah runtuh itu di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 1,000 penduduk di perumahan itu bimbang keadaan runtuhan tebing di kawasan berhampiran mengundang bahaya dan berisiko mengancam nyawa.
Lebih membimbangkan, runtuhan tebing itu yang dikesan hampir sebulan lalu sudah membentuk kawah sedalam 8 hingga 10 meter atau bersamaan tinggi bangunan tiga tingkat kini semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.
Berdasarkan tinjauan, runtuhan itu sudah menghakis sepanjang 10 hingga 15 meter dan sudah pun meruntuhkan benteng pagar batu antara tebing dengan perumahan itu.
Perumahan mewah Cassia menempatkan 220 unit kediaman bernilai RM1.2 juta yang mula diduduki sejak 13 tahun lalu.
Dalam pada itu, Aiman berkata, berdasarkan pemerhatian awal, tiada keperluan untuk penduduk berpindah kerana ia masih selamat memandangkan jarak antara rumah berhamporan dengan kawasan runtuhan adalah kira-kira 6 meter.
Pada masa sama, katanya, masih terdapat zon penampan dalam jarak bersesuaian dengan rumah penduduk.
“Kita akan beri perhatian apa-apa berkaitan tanah runtuh di peringkat KPKT kerana sudah mendapat mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apa sahaja melibatkan tanah runtuh terutama membabitkan nyawa mesti diambil tindakan,” katanya. – UTUSAN











