PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menafikan dakwaan kapal kargo milik syarikat Israel berada di pelabuhan negara ini sejak kerajaan menguatkuasakan larangan terhadap syarikat perkapalan dari negara itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kapal yang didakwa dimiliki negara Zionis itu sebenarnya sudah bertukar hak milik kepada sebuah syarikat lain yang berpangkalan di Hong Kong.
“Kita telah buat pemeriksaan dan siasatan. Kapal itu didaftarkan di bawah ZIM Rotterdam sebelum ini, tetapi ia telah bertukar tangan dan kapal itu sekarang ini namanya ialah MV Rotterdam dan hak milik kapal itu bukan ZIM Rotterdam tetapi di bawah syarikat GoldStar Line.
“Dasar kita ialah kita tetapkan dengan tegas syarikat perkapalan ZIM Rotterdam tak dibenar berlabuh di Malaysia, tetapi apabila kapal itu telah bertukar tangan milik syarikat lain, kita tak boleh menghalang (menggunakan pelabuhan dalam negara) kerana kita negara perdagangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Erat Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Anthony Loke berkata sebagai mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia minggu lepas, kurang lima bulan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kapal milik negara Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Pada 20 Disember tahun lalu, media melaporkan kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia. –UTUSAN










