KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menandatangani kontrak bernilai RM9.4 bilion sepanjang empat hari Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.
Sepanjang pameran dilaksanakan, Kementerian Pertahanan menandatangi 40 dokumen bernilai RM7.3 bilion melibatkan aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
KDN pula menandatangani 14 kontrak membabitkan 14 syarikat tempatan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.156 bilion termasuk beberapa perolehan aset seperti enam buah helikopter untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan kamera badan kegunaan Polis Diraja Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan itu bertujuan memastikan kesiapsagaan ATM dan keupayaan anggota untuk melaksanakan tugas serta kewajipan dalam menjaga kedaulatan negara.
“Malaysia bersempadan dengan lima buah negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina, pada masa sama operasi rondaan dilakukan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, jadi kita perlukan kelengkapan yang boleh bantu anggota menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Pameran DSA dan NATSEC 2024, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, semua kontrak yang ditandatangani termasuklah bagi kerja penyelenggaraan, penambahbaikan, pembelian aset dan menggantikan sistem pengurusan trafik udara.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN telah menandatangani 14 kontrak membabitkan tiga agensi di bawahnya iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kontrak termasuk untuk pembelian aset jentera pelbagai guna PDRM, kapal induk, kamera badan untuk anggota dan enam unit helikopter kegunaan Maritim Malaysia,” katanya.
Saifuddin berkata, semua perolehan dilakukan ada signifikan dan berimpak tinggi bagi meningkatkan keupayaan dan keselamatan negara membabitkan agensi di bawah seliaannya.
“Kesemua perolehan ini adalah signifikan seperti enam unit helikopter baharu adalah untuk membantu tugas kawalan maritim seluas 590,000 kilometer persegi akan dapat diurus dengan lebih baik oleh Maritim Malaysia.
“Perolehan unit kamera badan akan meningkatkan tahap integriti PDRM dan berupaya untuk meningkatkan keyakinan orang awam terhadap integriti PDRM,” katanya.
Pameran DSA dan NATSEC 2024 melabuhkan tirainya hari ini dengan kejayaan menarik lebih 50,000 pengunjung perdagangan dari dalam dan luar negara sepanjang empat hari berlangsung.
Pameran dwi-tahunan DSA edisi ke-19 dan NATSEC Asia ke-4 dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2026. -UTUSAN










