BUTTERWORTH : Sekumpulan 14 lelaki termasuk tiga remaja mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki lain serta memiliki senjata berbahaya, Jumaat lepas.
Pengakuan tidak bersalah itu dibuat dalam Bahasa Mandarin oleh tertuduh yang berusia antara 15 hingga 51 tahun itu melalui penterjemah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama, masing-masing didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan mempunyai tujuan bersama untuk mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 21 tahun menggunakan parang dan kayu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 7.15 petang di Lorong Bunga Raya 2, Taman Bunga Raya, Butterworth pada 3 Mei lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan berasingan, masing-masing didakwa memiliki satu senjata berbahaya iaitu parang di tempat awam tanpa sebarang maksud sah pada tarikh, tempat dan masa sama mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, Lee Jun Keong dan Mohd Azhar Hamzah. Enam daripada tertuduh diwakili peguam, Rafael Abdullah manakala selebihnya tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM20,000 hingga RM28,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-kedua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Sementara itu, di mahkamah yang sama juga, seorang daripada 14 tertuduh iaitu Bee Hooi Siang, 51, turut didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 38 tahun dan mengugut untuk membunuh mangsa.
Tindakan itu mendorong mangsa dengan curangnya menyerahkan wang berjumlah RM10,000 menerusi transaksi bank.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.13 pagi di sebuah rumah di Jalan Kampung Gajah, Butterworth pada hari yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang juga pengusaha kedai kopi diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan sama. Hakim Noor Aini kemudiannya menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.
Jumaat lalu, media melaporkan polis menahan seramai 28 lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rusuhan yang bersenjatakan parang di Butterworth susulan penularan satu rakaman video pendek yang memaparkan tindakan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dan menyerang sebuah kereta.-UTUSAN










