Masalah air sukarkan penduduk Keratong 6

Masalah air sukarkan penduduk Keratong 6

KETIADAAN air menyukarkan urusan seharian Rasidah Daud menjaga emaknya, Salamah Basit yang uzur di Felda Keratong 6, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Ketiadaan air menyukarkan kehidupan seharian kira-kira 450 penduduk khususnya dalam kalangan warga emas di Desa Makmur dan Desa Ehsan, Felda Keratong 6, Muadzam Shah di sini.

Difahamkan masalah itu sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan makin bertambah buruk sejak kira-kira tujuh tahun kebelakangan ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peneroka, Mohd. Ramli Mohd. Ali, 67, berkata, dia terpaksa mengerah kudratnya untuk memindahkan air daripada tangki yang diletakkan di hadapan rumah ke kolah air dalam rumahnya.

“Selang dua atau tiga hari lori tangki akan hantar air yang diletakkan dalam tangki yang disediakan di depan rumah. Tangki itu saya kongsi dengan jiran. Bila tiba giliran saya ambil air, saya perlu pindahkan air ke dalam kolah rumah menggunakan paip getah.

“Sebelum ini saya pindah air guna baldi, tapi bila sudah tidak larat, saya pindah guna paip getah yang disambung menjadi panjang sehingga sampai ke kolah,” katanya di sini.

Mohd. Ramli berkata, keada­an terbabit menyukarkan kehidupan seharian dia dan isteri, tambahan pula kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan.

“Lebih menyedihkan saya dan isteri terpaksa melarang anak dan cucu pulang ke kampung berikutan ketiadaan air.

“Kalau mereka tetap mahu pulang juga, terpaksalah mereka ambil air dari masjid atau dari tasik serta sungai berhampiran kerana air sedia ada tidak mencukupi,” katanya.

Generasi kedua, Rasidah Daud, 61, pula, berkata, ketiadaan air menyukarkan urusan menjaga ibunya, Salamah Basit, 81, yang terlantar akibat di­serang strok.

“Bila tiada air ini hendak menguruskan emak susah jugalah. Selang dua hari sekali saya dan anak akan angkat emak menggunakan kerusi roda pergi ke tangki simpanan air untuk memandikan emak. Kita nak jaga orang tua jadi susah kerana perlu ada air yang mencukupi berikutan perlu menitikberatkan kebersihan,” katanya.

Ketua peneroka, Awang Mat Isa, 63, berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di tanah rancangan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN