TEMERLOH: “Tiada rotan, buluh pun berguna,” demikian kata seorang pembuat kraftangan Orang Asli etnik Jahut, Man Bai, 50, di Kampung Orang Asli Pos Penderas di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Man yang mahir membuat kraftangan seperti ambong, ibong, tangguk, bakul, nyiru, gadang dan pelbagai jenis peralatan untuk kegunaan di dapur, kebun, menangkap ikan dan kerja bertani berkata, sejak kebelakangan ini agak sukar mencari rotan.
Katanya, kekurangan tumbuhan rotan kemungkinan berpunca penebangan hutan untuk pembangunan sejak 20 tahun lalu berdekatan tempat tinggalnya.
“Sekiranya saya perlukan juga rotan mengikut kehendak pelanggan, saya terpaksa berjalan kaki masuk ke hutan sejauh lebih 10 kilometer baharu dapat jumpa rotan yang sesuai untuk dibuat kraftangan tertentu.
“Saya tetap meneruskan aktiviti membuat kraftangan ini untuk memperoleh pendapatan, mahu tidak mahu terpaksalah menggunakan buluh ditebang berdekatan pesisir sungai kampung ini sebagai bahan. Sekiranya tiada rotan, buluh pun berguna, hasilnya juga kemas dan sempurna,” katanya di Pos Penderas di sini.
Menurut Man, rotan dan buluh yang ditebang di hutan di bawa pulang lalu dibelah serta diraut mengikut kesesuaian kraftangan.
“Sekiranya perlu dijemur seperti rotan bagi tujuan melembutkan bahan ini untuk memudahkan menganyam cuma mengambil masa sehari sahaja. Bahan seperti buluh tidak perlu dijemur cuma diraut sesuai untuk membuat peralatan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










