KAJANG: Malaysia tidak menyokong mana-mana kumpulan pengganas sebaliknya memberi komitmen berterusan untuk membanteras pembiayaan bagi sebarang aktiviti keganasan.
Pendirian itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson dalam pertemuan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya di sini pagi tadi.
Menurut beliau, kerajaan menyatakan pendirian di peringkat global dan serantau Asean berhubung komitmen membanteras pembiayaan haram dan aktiviti pengubahan wang haram.
“Mereka (AS) bertanyakan komitmen kita bagi membanteras aktiviti pembiayaan keganasan. Kita sebut komitmen serantau, Asean atau peringkat KDN.
“Kita mempunyai perancangan strategik yang sangat jelas berkaitan illicit funding (pembiayaan kewangan haram) dan money laundering (pengubahan wang haram) yang mematuhi piawaian antarabangsa sama ada di peringkat Basel 2 dan Basel 3.
“Mereka jelas tentang perkara ini dan menghargai usaha kita buat,” kata beliau selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Agensi Antidadah Kebangsaan di Kajang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyatakan pendirian Malaysia yang hanya mengiktiraf sekatan dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Berdasarkan pertemuan dengan Brian Nelson pagi tadi, ada perkongsian maklumat tentang beberapa perkara terkait dengan pertubuhan, individu atau syarikat dikatakan di Malaysia yang memerlukan penjelasan daripada kita.
“Respon di pihak kita turut menegaskan kita tidak mengiktiraf sekatan yang dibuat mana-mana negara sebaliknya mengikut Majlis Keselamatan PBB,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara itu sangat produktif selain berpeluang menyatakan pendirian rasmi kerajaan daripada perspektif keselamatan.
“Kita sentiasa bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mereka (AS). Usaha menguruskan perkara ini harus bersifat menyeluruh, tidak boleh sepihak sahaja.
“Kita adalah sebuah negara menjunjung prinsip undang-undang dan mempunyai peruntukan (undang-undang) jelas untuk menguruskan perkara yang dibangkitkan,” katanya.
Sebuah agensi berita antarabangsa semalam melaporkan bahawa pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS akan ke Singapura dan Malaysia dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya selain pengelakan sekatan terhadap Rusia.
Berdasarkan laporan tersebut, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.
Justeru, Nelson dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti sedemikian ketika pertemuannya dengan Malaysia.- UTUSAN










