PETALING JAYA: Lawatan Menteri Perdagangan dan Pengerusi Pusat Daya Saing Negara Arab Saudi ke Malaysia dilihat tepat pada masanya dalam mengekalkan momentum hubungan dua hala yang kukuh antara sesama negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi pertemuan beliau bersama Dr. Majid Al-Kassabi, masing-masing bersetuju adalah penting bagi Malaysia dan Arab Saudi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam meningkatkan perdagangan dua hala serta mengembangkan peluang pelaburan.
Katanya, soal itu termasuk meningkatkan kerjasama dalam sektor-sektor baharu seperti perkhidmatan, teknologi dan inovasi.
“Arab Saudi adalah rakan dagangan Malaysia yang paling penting di Asia Barat. Lawatan itu tepat pada masanya dalam mengekalkan momentum hubungan dua hala yang kukuh dan unik melalui kerjasama pragmatik dalam semua bidang, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau menerima kunjungan Dr. Majid dan delegasi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya semalam.-UTUSAN










