KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited menjunjung tinggi prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan pengislaman tiga orang anak seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu sudah pasti merupakan suatu catatan penting dalam sejarah perundangan negara namun MAIPs sentiasa komited menjunjung tinggi prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti terkandung dalam Rukun Negara.
Titah Raja Muda Perlis itu, bagi MAIPs, setiap sesuatu yang berlaku itu merupakan ketetapan-Nya yang mempunyai hikmah tersembunyi.
“MAIPs mengambil maklum dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan keputusan ini sudah pasti merupakan suatu catatan penting dalam sejarah perundangan negara tercinta,” titah baginda di sini semalam.
Semalam MAIPs bersama tiga lagi pihak gagal mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pengislaman tiga orang anak seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong.
Ia selepas panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersidang bersama Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais, menolak permohonan tersebut dan sebarang perintah berhubung kos.
Dengan keputusan tersebut, penghakiman Mahkamah Rayuan pada 10 Januari lalu yang memutuskan agama pasangan kembar yang kini berusia 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, kekal sebagai Hindu.
Sementara itu. Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs berharap agar mereka berjaya menjadi insan sempurna dan kekal dalam landasan fitrah kemanusiaan.
“Dengan iringan doa dan harapan agar anak-anak berkenaan sentiasa menjalani kehidupan yang sempurna, terdidik dan bahagia,” titah baginda.-UTUSAN











