SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan dua beranak atas pertuduhan memiliki 1,248 tin arak pelbagai jenama bernilai RM3,494.40 tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan semakan keputusan yang dibuat ke atas P.Aplanayara, 65, dan anak lelakinya, A.Kartik, 36.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan kedua-dua responden dilepas dan dibebaskan seperti mana keputusan Mahkamah Majistret pada 12 Oktober 2023.
Peguam yang mewakili dua beranak itu, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris berkata, dua bulan lalu pihaknya telah menghantar representasi kepada pihak pendakwaan supaya mengkaji rayuan yang dikemukan.
“Pihak pendakwaan setuju untuk menarik balik rayuan tersebut dan memerintahkan mahkamah melepas dan membebaskan responden,” katanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah selesai di sini hari ini.
Pada 16 Februari 2022, dua beranak itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas pertuduhan memiliki 1,248 tin arak pelbagai jenama bernilai RM3,494.40 tanpa kelulusan JKDM.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati memiliki barang larangan iaitu 1, 248 tin arak pelbagai jenama bernilai RM3,494.40 yang mana barang-barang tersebut adalah barang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Kesalahan itu dilakukan pada 20 Februari 2020 lebih kurang pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Taman Sri Gelugor di Kuala Pilah.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu tertuduh turut didakwa memiliki 1,248 tin arak pelbagai jenama berduti eksais yang tidak dibuktikan telah dibayar duti eksais bernilai RM13,011. 60.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Erei Yuskha Mohd. Yusof. – UTUSAN










